Wednesday 29 January 2014

CINEMA TODAY: Robocop (2014)

CINEMA TODAY: Robocop (2014)
Directed by Jose Padilha

Filem Tropa De Elite (The Elite Squad) karya Jose Padilha merupakan sebuah filem aksi berkisarkan sekumpulan polis elite membenteras jenayah di kawasan hitam Brazil.
Filem ini dihasilkan dengan editing yang laju, realistic, dan gritty dengan penceritaan yang baik dan kemas. Ini jelas menunjukkan Brazil tidak kering dengan bakat-bakat besar (seperti Walter Salles, Fernando Meirelles) yang mampu mengancam kehebatan karyawan dari Hollywood.

Setelah menonton filem Tropa De Elite, harapan saya kepada filem remake Robocop menjadi sangat tinggi. Tidak hairan bila melihat Hollywood yang kekeringan idea terpaksa mengimport karyawan dari Brazil ini untuk memberi nafas baru kepada Robocop. Hollywood seperti tidak mahu filem remake terbaru ini kecundang seperti filem-filem remake yang lain. Jose Padilha memang pilihan tepat Hollywood, kerana filem asal Robocop (1987) arahan Paul Verhoeven merupakan sebuah filem aksi hebat yang sukar untuk tandingi dari segi penceritaannya.

Plot - Tidak ada perubahan besar yang dilakukan untuk filem Robocop versi baru ini. Ia masih lagi setia dengan karya asal Robocop (1987) tulisan Edward Neumeier dan Michael Miner cuma diolah semula oleh Joshua Zetumer. Ia mengisahkan Alex Murphy seorang anggota polis yang mengalami kecederaan teruk akibat cubaan bunuh oleh musuhnya telah diselamatkan oleh syarikat senjata gergasi Omnicorp dengan bantuan alatan canggih yang menukarkannya menjadi sebuah cyborg (separuh manusia, separuh robot)

Storytelling - Pemilihan Jose Padilha di bangku pengarah memang tidak sia-sia. Editing yang laju dan penceritaan yang kemas serta tidak gopoh tanpa mengabaikan perkembangan watak membuatkan filem ini menarik untuk ditonton. Satira sosial yang terdapat dalam filem asal juga masih dikekalkan pada filem ini. Pengaruh media, propaganda Amerika, pengaruh kapitalist dalam politik antara satira yang cuba disampaikan walaupun tidak banyak seperti filem asal tapi nampak masih releven dengan remake terbaru ini. Kebanyakan elemen yang terdapat dari filem asal Robocop masih terdapat pada filem baru ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan dari filem asal telah dikenalpasti. Antaranya ialah aspek keganasan yang disampaikan tidak sehebat dahulu, kondisi dan realiti jenayah di kota Detroit juga tidak diperhalusi sehebat dahulu. Selain itu watak Robocop juga mendapat pendekatan yang sedikit berbeza. Tidak seperti filem asal Robocop iaitu watak Alex Murphy jauh berubah  dan beliau tidak mengenal siapa dirinya setelah bertukar menjadi Robocop. Tetapi bagi filem remake ini, beliau masih mengenal dirinya walaupun setelah menjadi cyborg.

Skrip dan lakonan - Mantap dan bersahaja. Filem ini dibarisi oleh ramai pelakon A-list Hollywood. Hampir kesemua pelakon berjaya membawa watak dengan baik terutamanya Samuel L. Jackson yang berjaya mencuit hati saya dengan watak pengacara TV yang bertutur seperti watak Jules Winnfield dalam filem Pulp Fiction. Cuma lakonan Joel Kinnaman sebagai Alex Murphy tidak begitu menyerlah pada pendapat saya.

Character development - Perkembangan watak bagi setiap watak utama digarap dengan baik. Transformasi Alex Murphy kepada robocop serta emosinya lebih difokuskan kali ini.

Muzik dan lain-lain - Muziknya ok cuma muziknya seperti keterlaluan dan tidak sesuai pada beberapa scene terutamanya scene aksi dan tembak menembak . Kamera work bagi filem ini memang mantap. Di adun pula dengan aksi yang hebat serta bantuan CGI yang kompleks, membuatkan filem ini akan mendapat pujian dari peminat filem aksi.

Kesimpulannya, remake terbaru Robocop ini boleh dikatakan remake yang berjaya. Ia masih mengekalkan elemen-elemen dari filem asalnya. Secara peribadinya, walaupun ia tidak dapat menandingi kehebatan filem asalnya tetapi pengarah Jose Padilha harus diberikan pujian atas sentuhannya pada filem ini. Oh ya filem ini boleh ditonton oleh kanak-kanak. Ia bukan Rated-R seperti filem asalnya. Ini mungkin kerana Hollywood tidak sabar untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda dari filem ini dan juga tidak lupa jualan figura aksi yang sudah sedia menanti kanak-kanak di kedai mainan yang berhampiran.

My personal evaluation : 7.5 /10 bintang

No comments :

Post a Comment